The Rembau Times merasakan tindakan campur tangan pihak ghaib untuk menyekat Datuk Dr Puad Zarkashi (DPZ), Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, dari bertanding di PRU 14 sebagai tindakan yang bakal ditentang oleh ramai pihak, khususnya ahli dan penyokong UMNO sendiri.

Jawatan yang ada padanya bukan calang calang sahaja.

Pertamanya, beliau merupakan Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, iaitu daerah penting di negeri yang menjadi “tiang seri UMNO”. Kalau kita hendak menilaikan prestij UMNO Bahagian Batu Pahat, ianya jauh lebih istemewa berbanding Ketua Bahagian UMNO di kawasan jajahan pembangkang , cawangan di Sabah ataupun kawasan pendalaman dimana  sering ternampak papan tanda “Awas! Hidupan Liar Melintas!” di jalan raya.

UMNO Batu Pahat itu diantara cawangan UMNO yang boleh dikira Bahagian yang bersejarah di kawasan yang lama.  Jikalau jawatan Ketua Bahagian UMNO tidak lagi dihormati oleh pucuk pimpinan UMNO, apatah lagi jawatan Ketua Pemuda, Ketua – Ketua Cawangan dan sebagainya.

Maka tindakan menggantikan beliau dengan Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, itupun dibuat pada saat terakhir dengan cara yang tidak betul merupakan penghinaan kepada UMNO Batu Pahat.

Apakah para wakil-wakil dari UMNO Batu Pahat sanggup menahan malu ketika berjumpa dengan perwakilan dari cawangan yang lebih rendah tarafnya tetapi  ketuanya berjaya dicalonkan menjadi Ahli Parlimen, Menteri ataupun Menteri Besar.

Ataupun lebih teruk lagi, sanggupkah ahli UMNO di Batu Pahat di bahagian bersejerah ini diwakili pengikut Sharizat,  Ketua Wanita RM 200 juta yang sering mengundang kata kurang enak dan juga tidak dapat dicalonkan dimana-mana tempat di Malaysia.

Apakah DPZ bukannya calon yang berwibawa? Apakah DPZ tiada rekod perkhidmatan yang cukup cermelang? Bukankah beliau berjaya mempertahankan kerusi Majilis Tertinggi, itupun atas namanya dan bukan kerana sumber pengaliran wang.

Apakah taraf Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat dan Ahli Majilis Tertinggi UMNO sudah tidak memadai untuk diletakkan secara otomatik sebagai calon? Perlulah dia menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi BN dan dengan itu beliau boleh bertanding di PRU.

Kalau ini kali pertama, maka ianya boleh dikatakan sebagai ‘oversight’.  Tetapi perbuatan tidak adil ini sering kali berlaku kepada DPZ sejak 20 tahun yang lalu.  Lagipun, banyak calon pelik yang telah diturunkan untuk bertanding termasuk calon kitar semula, mereka yang sabotaj parti , mereka yang sudah muflis, mereka yang hentam Presiden dan sebagainya.

Maka tidak salah DPZ mengambil ikhtibar mengkorbankan diri demi mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam sistem penamaan calon.

Apakah UMNO ini tidak boleh menentukan calon – calon yang bertanding terlebih awal supaya persiapan yang lengkap boleh dibuat diperingkat akar umbi. Mengapa keputusan ini sering kali menjadi acara tarik tali diantara tangan-tangan ghaib yang menggunakan pelbagai alasan tidak munasabah untuk mengiyakan keputusan yang kurang cherdik. Hujah yang diturunkan pun tidak munasabah kononnya calon itu tak winnable,  cawangan bermasalah, muka tak hensem, isteri tak comel, kucing bertompok dan sebagainya.

Kenapa tidak boleh diletakkan kriteria tertentu. Ketua Bahagian UMNO di kawasan kubu kuat UMNO akan diberi keutamaan menjadi calon , no matter what. Atau paling tidak-tidak pun, buatlah pemilihan yang adil dan transparen awal-awal lagi. Lagi senanglah orang membuat kerja dan tidak adalah campur tangan dan adegan drama-drama minit terakhir seperti perlawanaan gusti WWE!

Maka dengan itu, kami di The Rembau Times melihat perjuangan Datuk Dr Puad Zarkashi bukan sebagai perjuangan peribadi tetapi perjuangan bagi menjaga maruah ahli-ahli UMNO Batu Pahat serti menentukan supaya adanya perubahan kepada sistem menamakan calon yang tidak logik, tidak konsisten dan sering membawa parah kepada ahli UMNO di seluruh Malaysia.

Persoalan, siapakah yang begitu berani menggugurkan nama Puad Zarkashi pada saat saat terakhir?

 

LEAVE A REPLY