“Design Thinking” formula tepat untuk UMNO

    Design thinking memberi penekanan kepada melihat isu dari segi glokal dan melancarkan strategi secara menyeluruh.

    0
    281

    Masa untuk berkabung telahpun tamat.

    Keutamaan ialah kita sama-sama merobek minda dan memberi cadangan kepada pucuk pimpinan agar UMNO mendapat kembali sokongan dari rakyat mahrean. Dalam pada itu, kami tertarik dengan cadangan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday yang berpendapat perlu adanya formula baru ataupun “New Deal” untuk mendapat kembali sokongan rakyat, khususnya kaum Bukan Melayu.

    Ini merupakan pendapat yang amat bernas dan berpijak di atas realiti politik (“political reality”). Cuba kita menepuk dada dan bertanya berapa ratus ribu undi yang kita telah hilang disebabkan kerana kita gagal mendapat kembali sokongan kaum bukan Melayu yang mula lari pada tahun 2008? Kenapa UMNO masih tidak insaf kerana apa yang dituntut oleh kaum Bukan Melayu, khususnya kaum Cina, pada waktu itu bukannya langit dan bumi. Apa yang dituntut ialah pembersihan dalam UMNO, khususnya pengunduran pemimpin-pemimpin korup dan juga hak samarata dalam soal peluang masuk ke IPTA  dalam bidang yang dikehendaki.

    Akan tetapi, pekara itu tidak diendahkan, malah strategi parti UMNO bertukar menjadi parti ultra kanan (“right wing“) dan terus ditolak secara menyeluruh oleh kaum bukan Melayu. Ini menjadikan UMNO terlalu bergantung kepada sokongan orang Melayu dan mengundang risiko yang amat tinggi sepertimana yang pernah dijelaskan oleh mantan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada 2015.

    Namun demikian, ianya bukan terlambat untuk UMNO memperbetulkan kesilapan lampau melalui proses “design thinking.Design thinking ini memberi penekanan kepada menganalisa sesuatu pekara secara menyeluruh dan komprehensif. Fokus penyelesaian lebih kepada mempertimbangkan alternatif serta budaya pasaran sasaran. Design thinking ini dipelopori oleh pensyarah dari Universiti Stanford, iaitu diantara universiti paling terkemuka didalam dunia dan digunakan oleh syarikat gergasi seperti Google untuk mereka produk-produk innovatif. Kami syorkan UMNO mencipta sejarah sebagai parti politik pertama di dunia yang mengamalkan “design thinking.”

    Contohnya berkenaan tuntutan kaum Bukan Melayu yang telah lama diabaikan oleh UMNO.

    Apakah perjuangan UMNO bermaksud UMNO mendokong pemimpin korup? Apakah perjuangan UMNO bermaksud kita tidak memberi tempat kepada penuntut bukan Melayu yang berkaliber untuk melanjutkan pelajaraan ke IPTA dalam jurusan yang ingin diceburi?

    Cubalah kaji pekara kedua ini dengan lebih menyeluruh.  Negara kini berdepan dengan kadar pengangguran graduan muda yang begitu tinggi. Ini disebabkan oleh beberapa sebab, samada graduan muda kita ini dapat bersaing dengan orang lain ataupun tidak. Persoalanya bukan berkisar tentang gaji oleh kerana kadar pengangguran di Singapura begitu rendah sekali meskipun gaji yang dibayar 4x hingga 5x lebih tinggi berbanding gaji yang diberi kepada graduan di Malaysia. Kenapa pekara itu berlaku? Apakah dasar meritokrasi yang diamalkan oleh Singapura itu pekara yang jijik sedangkan ianya berjaya melahirkan tenaga kerja yang cukup mahir yang cuba direbut oleh syarikat gergasi di dunia? Kenapa kita begitu gumbira jikalau Universiti Malaya dapat masuk ke Top 100 sedangkan Universiti di Singapura bersaing untuk masuk ke dalam ranking Top 10 in the World? 

    Maka pekara pertama yang perlu disedari oleh pemimpin UMNO ialah zaman memperbodohkan orang Melayu sudah berakhir. Siri tersebut tamat pada jam 2.30 pagi 10 hb. May 2018 dan kita berharap tiada lagi siaran ulangan dan sebagainya. UMNO hanya akan kembali menerajui pucuk pimpinan kerajaan sekiranya idea dan cadangan yang dibawa oleh UMNO dilihat sebagai cadangan yang bernas, logik dan membawa kepada kemakmuran untuk rakyat Malaysia secara amnya. Akan tetapi jikalau UMNO tidak mahu berubah dan hal tujunya ditentukan oleh mereka yang kurang berakal seperti mana yang pernah berlaku, maka tentulah UMNO akan terus ditolak oleh rakyat Malaysia.

    LEAVE A REPLY